Tunku Ismail Masih Lagi Presiden FAM – Datuk Hamidin

28 Mac – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ma­sih kekal sebagai Presiden FAM, lapor Kosmo

Bagaimanapun, Hamidin enggan mengulas lanjut mengenai peletakan jawatan Tunku Ismail sehingga perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Exco FAM pada Isnin depan.

“Tunku Ismail masih la­gi Pre­si­den FAM sehingga Mesyuarat Exco FAM pada Isnin depan.

“Pada mesyua­rat tersebut, Exco-Exco FAM akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak hasrat Tunku Ismail melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAM.

“Perkara tersebut akan menjadi agenda utama pada mesyua­rat nanti dan apa-apa keputusan mengenainya akan diumumkan selepas itu,” katanya ketika dihu­bungi semalam.

Diminta mengulas dirinya dinamakan calon sesuai untuk jawatan Presiden FAM, Hamidin yang kini berada di Beirut, Lebanon mengambil sikap ‘kunci mulut’ dan enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

“Seperti yang saya maklumkan, tunggu dulu kerana dalam perlembagaan FAM, Exco-Exco badan induk bola sepak negara masih belum menerima atau menolak peletakan jawatan Tun­ku Ismail. Baginda masih kekal menjadi Presiden FAM buat masa ini,” katanya.

Sejurus mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden FAM, Tunku Ismail kemudian mencadangkan nama Hamidin sebagai calon sesuai menggalas tanggungjawab memimpin badan induk bola sepak negara tersebut selepas Kongres Tahunan Kedua Football Limited Liability Partnership (FMLLP), Ahad lalu.

Cadangan Tunku Ismail yang menamakan Hamidin untuk ca­­­lon jawatan Presiden FAM disam­but baik pelbagai pihak termasuk bekas Setiausaha Agung FAM, Tan Sri Ibrahim Saad yang menyifatkan Hamidin memiliki pe­ngalaman luas mengenai sukan bola sepak tempatan.

“Saya melihat Hamidin memiliki karakter yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang mungkin timbul pada masa depan selain mempunyai hubu­ngan baik dengan semua diplomat bola sepak di seluruh negara,” ujarnya.

Leave a Comment