Terbaru Kabinet bayangan Umno-PAS kerja askar siber, kata pembangkang

PETALING JAYA: Pembangkang hari ini menafikan poster “Kabinet bayangan” Umno-PAS yang tersebar di laman sosial, memaparkan gandingan pimpinan parti Melayu dan parti Islam memegang portfolio kerajaan.

Poster tersebut memaparkan semua bernaung bawah Datuk Seri Zahid Hamidi selaku ketua pembangkang.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula bertanggungjawab untuk pertahanan, portfolio yang disandang Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Hal ehwal ekonomi diserahkan kepada Datuk Ahmad Maslan, untuk berdepan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Pembikin poster itu menyerahkan Lim Guan Eng, yang memegang portfolio kewangan, kepada Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Tiada pemimpin Umno atau PAS diberi portfolio keselamatan dalam negeri, yang disandang Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata poster itu kerja “tentera siber” yang mahu melaga-lagakan parti-parti pembangkang.

“Tidak perlu layan ‘cybertrooper’,” katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri berkata tiada Kabinet bayangan sekarang ini.

“Tidak betul. Tidak ada Kabinet bayangan,” katanya.

Pemimpin lain, seperti Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dari PAS diletakkan di posisi belia dan sukan, Datuk Bung Moktar Radin sebagai menteri pertanian dan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai menteri komunikasi.

Leave a Comment