Guru Di Singapura Wajib Bayar Caj Parkir Kereta Dan Motosikal Di Sekolah Bermula Ogos Ini

Menurut Kementerian Pendidikan Singapura, bermula Ogos ini, tenaga pengajar di Singapura perlu membayar kadar parkir bulanan jika mereka meletakkan kenderaan di kawasan sekolah.

Sebaik pengumuman itu dilakukan, ia telah mencetus pelbagai reaksi daripada rakyat tempatan dengan kadar bayaran bulanan parkir itu sebanyak $75 (RM222) bagi ruang terbuka, manakala S$100 (RM296) bagi yang berbumbung. Kadar bayaran tahunan pula adalah S$720 (RM2,133) bagi ruang terbuka, manakala S$960 (RM2,844) bagi tempat parkir berbumbung.

Bagi guru yang membawa motosikal pula, kadar bayaran bulanan S$13 (RM38.50) dikenakan bagi ruang terbuka manakala S$14 (RM41.50) bagi kawasan berbumbung. Bayaran tahunan pula adalah S$123 (RM364.50) di ruang terbuka dan S$135 (RM400) bagi kawasan berbumbung.

Menurut laporan media, Kementerian Pendidikan Singapura berkata kadar yang berbeza akan diperkenalkan bagi penggunaan parkir di luar penggal persekolahan. Ia dilaksanakan bertujuan untuk memudahkan urusan pentadbiran.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Pritam Singh dari Parti Pekerja menzahirkan pendiriannya menentang polisi baharu itu.

“Sesetengah profesion dan perkhidmatan sektor awam – termasuk guru-guru – mestilah dilihat oleh kerajaan Singapura sebagai golongan yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada pembangunan negara.

“Saya menentang pelaksanaan mengenakan bayaran bagi guru-guru yang membawa kereta atau motosikal,” tegasnya.
Sementara itu, bermula 1 April, Singapura akan mula mengutip bayaran untuk ruang parkir di enam lagi kem dan pangkalan tentera negara itu. Ia adalah keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan republik berkenaan.

Siakapkeli.my

Sumber: Astro Awani

Leave a Comment